Thursday 19 September 2013

Insiden Pencerobohan Buka Mata ATM

Insiden Pencerobohan Buka Mata ATM
KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengubah suai pelan pembangunan keupayaan strategiknya selepas insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah, 12 Februari lalu “membuka mata” pasukan itu yang sebelum ini memberi tumpuan kepada ancaman berbentuk konvensional.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, sejak penubuhan ATM pada 16 September 1933, ia telah menghadapi pelbagai ancaman termasuk menangani pengganas komunis dan serangan negara jiran. Bagaimanapun, insiden pencerobohan di Sabah merupakan ujian terkini kepada pasukan itu selepas mengecapi keamanan selama 56 tahun
“Serangan kumpulan bersenjata itu yang dikepalai Jamalul Kiram 3 merupakan satu bentuk ancaman di tahap yang rendah namun ia memberi impak yang amat besar apabila berlaku kealpaan,” katanya kepada pemberita dalam wawacara khas sempena ulang tahun ATM ke-80 di Kementerian Pertahanan di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata ATM serta pasukan keselamatan lain telah mengambil iktibar daripada pencerobohan itu, dan sebagai sebuah ketumbukan yang disegani di rantau Asia Tenggara, ATM mula mengorak langkah bagi menghadapi bentuk ancaman sedemikian.
Sehubungan itu, gugurnya perwira negara di medan tempur menjadi bukti bahawa keamanan yang dikecapi negara pada hari ini sentiasa boleh diganggu-gugat musuh sekiranya negara tidak berwaspada menghadapi ancaman sedemikian.
“Kita sedar pengganas yang menceroboh itu (tentera Kiram) tidak berada dalam radar kita, ini merupakan satu pengajaran kepada ATM. Jadi disebabkan itu perancangan pembangunan keupayaan strategik kita perlu ubah yang mana sebelum ini ATM memfokuskan kepada ancaman berbentuk konvensional,” katanya.
Zulkifeli berkata pihaknya kini sedang meneliti serta mengkaji pelan pembangunan strategik itu, yang mana sebelum ini lebih memfokuskan kepada ancaman di tahap sederhana tinggi dan tinggi, berbanding ancaman di tahap rendah dan sederhana rendah.
Katanya, insiden serangan itu sekaligus ‘mengejutkan ATM daripada tidur’ yang selama ini kurang memberi fokus kepada ancaman sedemikian yang kini menjadi kenyataan.
Beliau berkata ATM akan membuat beberapa pengubahsuaian dalam pelan itu bagi memastikan ancaman pengganas Kiram tidak lagi berulang, dan tidak menjejaskan pelan asal pembangunan keupayaan ATM.
Ops Daulat yang disertai ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghadapi pengganas menjadi platform terbaik buat ATM mengkaji ancaman di tahap rendah itu bagi dimasukkan ke dalam pelan pembangunan keupayaan strategik ATM, katanya.
“Kita memerlukan beberapa sistem yang canggih dan lebih mantap, dan satu daripadanya ialah helikopter tempur. Sekiranya kita memiliki helikopter tempur ini semasa Ops Daulat mungkin kita tidak perlu mengarahkan anggota kita masuk ke kawasan operasi. Jadi kita perlu kaji semula semua perkara ini,” katanya.
Zulkifeli berkata ekoran insiden pencerobohan Lahad Datu itu juga, ATM kini sedang merangka satu pelan pemerkasaan angkatan itu, antaranya menubuhkan ‘pasukan objektif’ yang dapat dibangunkan sebagai sebuah angkatan tentera pelbagai fungsi.
Beliau berkata angkata tentera terbabit akan dilatih dengan pelbagai bentuk latihan dan kesesuaian bagi menghadapi musuh serta peringkat ancaman, sama ada rendah, sederhana rendah ataupun sederhana, yang mana sebelum ini ia belum pernah dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau berkata pecerobohan di Lahad Datu, yang meragut 10 nyawa anggota keselamatan negara itu, secara langsung telah memberikan tamparan hebat kepada semua agensi penguatkuasa negara yang dipertanggungjawab mempertahankan tanah air daripada sebarang ancaman musuh.
Ekoran kejadian itu, kerajaan telah mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) bagi memperkasa setiap agensi keselamatan yang diberi tanggungjawab untuk mempertahankan sempadan pantai timur Sabah.
Mengulas mengenai hari sambutan ATM yang ke-80, Sabtu ini di Dataran Merdeka di sini, Zulkifeli berkata ia merupakan satu signifikan yang mencerminkan kematangan ATM sejak ia mula ditubuhkan sebagai sebuah angkatan yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.
Beliau berkata sempena sambutan itu, ATM telah merancang pelbagai aktiviti serta beberapa kelainan yang bakal ditonjolkan pada sambutan pada kali ini antaranya perbarisan raksasa yang akan mempamerkan hampir kesemua aset-aset, peralatan, sistem tempur dan perkhidmatan logistik ATM.
Perbarisan itu bakal diwarnai pertunjukan tarian tempur serta perbarisan dan gimik khas pasukan khusus ATM iaitu Grup Gerak Khas, Pasukan Khas Laut dan Pasukan Khas Udara yang akan bergabung membuat persembahan.
Zulkifeli berkata kelainan perbarisan raksasa ini juga turut menampilkan kesemua anggota ATM yang bertugas dalam Ops Daulat.  – BERNAMA
Share:

0 comments:

Post a Comment

Facebook