Thursday 17 October 2013

Elakkan perut anda menjadi buncit


Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membakar lebihan lemak di dalam badan. Antara cara yang sering dilakukan adalah melalui senaman dan bersukan. Walaubagaimanapun, lemak terutamanya di bahagian perut, adalah sukar untuk dihapuskan hanya dengan melakukan senaman dan bersukan. Lebihan lemak yang diperolehi melalui pemakanan, juga boleh disusutkan melalui pemakanan. Terdapat beberapa makanan yang dikenalpasti boleh menyusutkan lemak, terutamanya di bahagian perut.

Lemak di bahagian perut akan menyebabkan perut seseorang kelihatan buncit. Masalah perut buncit ini turut dihadapi oleh individu yang tidak mempunyai berat badan berlebihan. Bagi mengelak dan mengatasi masalah tersebut, amalkan pengambilan makanan-makanan berikut.

1. Kebanyakan individu tahu bahawa yogurt adalah makanan yang sangat sihat kerana ia kaya dengan kalsium, tetapi tidak ramai yang tahu ia juga sangat membantu dalam mengurangkan berat badan dan membakar lemak di bahagian perut. Menurut kajian yang dilakukan di Universiti Tennesse, 34 orang yang mengalami obesiti mengikuti program diet rendah kalori, 34 orang tersebut telah  dibahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama, seramai 16 orang telah diberi 400 hingga 500 miligram kalsium dalam suplemen harian, manakala yang selebihnya iaitu kumpulan kedua seramai 18 orang mendapat 1100 miligram kalsium daripada yogurt. Di akhir eksperimen tersebut, kedua-dua kumpulan telah berjaya menurunkan berat badan. Walaubagaimanapun, individu yang menerima nutrisi daripada suplemen harian hanya hilang 0,63 centimeter daripada tubuh badan berbanding individu daripada kumpulan kedua yang mengamalkan pengambilan yogurt yang telah berjaya mengurangkan ukuran lilitan pinggang sebanyak 4 centimeter.

 

2. Seterusnya, amalkan pengambilan teh terutamanya teh hijau dan teh putih kerana ia mengandungi kandungan katekin yang tinggi. Ketekin adalah sejenis antioksidan yang mengurangkan keinginan untuk mengambil makanan berkarbohidrat. Minum teh sebelum melakukan senaman dapat meningkatkan metabolisme dan mempercepatkan proses pembakaran lemak.

 

3. Makanan seterusnya adalah sejenis ikan yang diberi nama Ikan Merah. Ikan laut ini merupakan sumber yang baik untuk mengurangkan lemak di bahagian perut. Ini kerana ia mempunyai sejenis protein lambat-pencernaan, kalsium yang menyumbangkan kepada penurunan berat badan dan lemak omega 3. Selain itu, ia juga membantu untuk mengawal stres supaya individu yang mengamalkan pengambilan ikan ini dalam diet harian akan berasa tenang dan memperoleh wajah yang awet muda. Di Malaysia, khususnya di restoran mamak, masakan ikan merah lebih dikenali sebagai kari kepala ikan.

 

4. Sebuah kajian yang dilaksanakan di Universiti Purdue mengenalpasti bahawa individu yang memakan kacang almond berasa kenyang lebih lama daripada individu yang memakan nasi ataupun kek. Amalkan makan tidak lebih daripada 24 biji kacang almond sehari untuk memuaskan rasa lapar tanpa mendapat kalori yang berlebihan. Elakkan kacang almond yang telah diproses dan mempunyai garam tambahan kerana garam yang berlebihan akan meningkatkan tekanan darah.

 

5. Antara makanan lain yang diperlukan oleh tubuh badan untuk membakar lemak adalah telur ayam. Ini kerana telur ayam mengandungi vitamin B12 yang diperlukan dalam proses metabolisme. Telur ayam yang digoreng atau direbus sesuai dimakan untuk sarapan pagi tetapi perlu berhati-hati kerana ia juga berupaya meningkatkan kandungan kolestrol di dalam badan.

 

6. Sayuran hijau seperti bayam dan brokoli bukan sahaja kaya dengan vitamin dan mineral, tetapi ia juga boleh membantu untuk membakar lemak di perut. Ini kerana bayam dan brokoli turut mempunyai fiber dan sedikit kalori. Sebelum menjamah makanan tengahari, makan sedikit salad daripada bayam atau brokoli supaya perut berasa akan terasa kenyang. Oleh itu, kuantiti yang dimakan untuk hidangan tengahari akan dapat dikurangkan.

 

Setelah melakukan senaman dan bersukan dengan teratur, tingkatkan lagi usaha untuk kelihatan ramping dengan mengamalkan pengambilan makanan-makanan yang telah dinyatakan untuk memastikan lemak di perut akan dibakar dengan lebih cepat, tanpa perlu berasa lapar kerana terpaksa menahan selera makan. Amalkan pengambilan makanan-makanan tersebut dalam kuantiti yang sederhana dan elakkan makan secara berlebihan untuk mengatasi masalah perut buncit dan mendapatkan ukuran pinggang idaman dengan lebih cepat.

Share:

0 comments:

Post a Comment

Facebook