BEIJING – Seorang lelaki di Hubei yang menghidap penyakit aneh
bertindak menggergaji kaki kanannya menggunakan gergaji logam, pisau
kecil dan penggaru yang dibungkus dengan tuala.
Menurut laporan terkini dalam Shijiazhuang News, Zheng Yanliang, 47,
dari bandar Boading dikenali sebagai lelaki perkasa di bandar terbabit.
Bagaimanapun, tahun lalu dia menghidap penyakit teruk di perutnya
sebelum ia beralih ke kakinya. Kesakitan dialami sangat menyakitkan
hingga dia tidak mampu untuk berdiri sebelum disahkan menghidap
trombosis arteri di kedua-dua belah kakinya.
Ujian angiogram menunjukkan semua arteri di kaki kanannya sudah
tiada. Doktor memberitahu Zheng yang penyakit dihidapinya itu sangat
jarang ditemui dan dia mungkin hanya dapat hidup tidak melebihi sebulan
hingga menyebabkan isterinya menangis.
Sepanjang tiga bulan Zheng terpaksa menahan kesakitan yang amat sangat hingga dia hampir pengsan.
Dia juga sering menjerit sehingga jiran tetangga tidak dapat tidur
pada waktu malam. Tidak tahan lagi dengan kesakitan yang ditanggungnya,
beberapa hari berikutnya selepas isterinya masuk tidur, Zheng
menggunakan pisau, gergaji logam serta penggaru yang dibalut dengan
tuala dan mula memotong kakinya.
Kira-kira 20 minit kemudian isterinya yang terjaga dari tidur
terkejut melihat kaki kanan suaminya sudah dipotong 15 sentimeter dari
paha. Gergaji logam yang digunakan juga patah dua.
Bagaimanapun Zheng bernasib baik kerana tidak terdapat banyak darah
ketika dia memotong kakinya itu ekoran penyakit trombosis dihidapi.
Walaupun dia tidak lagi mengalami kesakitan di sebelah kaki yang sudah
dipotong berkenaan, tetapi sakit di kaki kirinya pula kian buruk. Zheng
kini meminta bantuan masyarakat sekeliling untuk mengumpul dana bagi
membolehkan dia mendapatkan kaki palsu agar dia dapat meneruskan
kehidupan dan menyara keluarganya. – Agensi
0 comments:
Post a Comment