MOSCOW – Satu insiden serangan ganas bermotifkan perkauman dirakam
kamera keselamatan kini tersebar di Internet dan menjadi perhatian
ramai.
Dalam kejadian itu, dua lelaki bersenjatakan pistol menyerang seorang
penumpang berkulit sawo matang dalam kereta api metro di Moscow.
Warna kulitnya itu dipercayai menarik perhatian dua lelaki kulit
putih ketika mereka sama-sama berada dalam tren bawah tanah di Moscow.
Seorang daripada penyerang dilihat berbisik sambil menganggukkan
kepala kepada rakannya sebelum kedua-duanya menghampiri mangsa dengan
mengacukan senjata ke arahnya. Kejadian itu dirakam kamera keselamatan
dan dimuat naik di laman sesawang agensi berita Russia, Life News.
Penyerang yang lebih muda menggunakan pistolnya untuk menembak perut Khashim Latipov, 30, dari Dagestan, di selatan Russia.
Dia turut menendang dan menembak Latipov sekali lagi sebelum
mengacukan pistol ke kepalanya, manakala penumpang lain menjarakkan diri
mereka di bahagian belakang tren itu.
Kedua-dua penyerang kemudian membelakangkan Latipov, tetapi masih
terus mengancam mangsa dengan pistol hingga mereka beredar di stesen
Nagornaya.
Polis berkata, wajah dua penyerang dalam insiden 17 November itu
sudah dirakam kamera keselamatan, tetapi identiti mereka belum dapat
dipastikan. Pihak berkuasa kini giat memburu mereka. Latipov yang cedera
parah dalam serangan itu bagaimanapun terselamat.
Dia terpaksa menjalani pembedahan membuang peluru dari rahangnya, selain mengalami parut pada muka.
Serangan itu berlaku kurang tiga bulan sebelum ribuan peminat Sukan
Olimpik Musim Sejuk mengunjungi Russia untuk temasya sukan terbabit di
Sochi. – Agensi
0 comments:
Post a Comment