Tuesday 3 December 2013

Pelancaran Myvi Limited Edition Khas Untuk Wanita


Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menawarkan 60 unit Myvi Edisi Terhad FEM (Female Empowerment Movement) kepada golongan wanita sebagai usaha bagi menjayakan kempen FEM yang memberi fokus kepada golongan terbabit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, kempen seperti itu dilihat dapat menyumbang 20 hingga 30 peratus kepada jualan tahunan syarikat.

“Kempen yang fokus kepada golongan sasaran ini salah satu strategi kami bagi mengekalkan penguasaan pasaran automotif di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran kempen PERODUA FEM di sini, semalam.

Kempen terbabit menyaksikan PERODUA menawarkan Myvi dilengkapi pelekat trendy, kusyen kulit dan warna putih Ivory. Semua ciri istimewa itu bernilai RM4,000 dan apa paling menarik, harga unit terbabit tetap berada pada harga semasa iaitu RM56,000 seunit.

Beliau berkata, golongan wanita perlu berusia sekurang-kurangnya 18 tahun dan memiliki atau pernah memandu kereta PERODUA untuk menikmati tawaran terbabit. Mereka juga perlu berdaftar di laman web www.peroduafem.com.my untuk menikmati pelbagai kemudahan lain dan berkongsi maklumat mengenai isu wanita.

Katanya, sehingga kini, laman web itu mencatatkan 2,000 keahlian dan syarikat menyasarkan 10,000 keahlian menjelang akhir tahun depan.
Ketika ditanya kesan kenaikan tarif elektrik kepada operasi syarikat, Aminar berkata syarikat akan cuba terus menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan dengan mengurangkan kos pada setiap peringkat dalam rangkaian pembekalan.






Share:

0 comments:

Post a Comment

Facebook