Tuesday, 21 January 2014

Mutakhir Penjerat Burung Jumpa Mayat Berbalut Kain Pelikat


TASEK GELUGOR: Seorang lelaki yang sedang mencari tempat sesuai untuk menjerat burung, terkejut apabila menemui satu mayat dibaluti kain pelikat dalam kebun kelapa sawit di Ara Kuda dekat sini, hari ini.

Penjerat burung itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, mayat lelaki itu, yang dibaluti sempurna dengan beberapa helai kain pelikat seperti sedia untuk ditanam, ditinggalkan di tepi pokok kelapa sawit. 
Beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada polis.

Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu pada 11.15 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati ia mayat lelaki Myanmar yang dipercayai baru meninggal dunia.

"Berdasarkan siasatan awal, mayat lelaki itu dibawa oleh beberapa rakannya untuk ditanam di ladang berkenaan tetapi ia ditinggalkan di tepi pokok sawit itu selepas terserempak dengan penjerat burung itu.

"Tiada kecederaan pada tubuh mangsa dan dipercayai lelaki itu, yang tinggal di rumah kongsi berhampiran ladang itu, mati akibat penyakit misteri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jurucakap itu berkata, pihaknya juga tidak menemui dokumen pengenalan diri mangsa di tempat kejadian.
Berikutan itu, polis menahan beberapa rakan serumah mangsa untuk diambil keterangan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim, berkata kes itu disiasat sebagai mati mengejut dan siasatan masih dijalankan. - BERNAMA

Share:

0 comments:

Post a Comment

Facebook