Kalau satu bilion itu maknanya seribu juta, satu trilion pulak adalah
seribu bilion… kalau ikut wikipiedia… panjang kosong trilion ini
begini… 1,000,000,000,000,000,000.
Begitulah punya banyak dana yang individu yang mendakwa dirinya Sultan Melaka dakwa akan dapat dari Tabung Dunia.
Dalam sidang media di ‘Balai Seri Melaka’ di Gombak Selangor,
individu yang mahu digelar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Noor Jan
Shah Ibni Almarhum Yam Raja Tuah (gambar) mendakwa, pihak Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengadakan siasatan selama sembilan
tahun berkaitan tuntutannya untuk menduduki takhta raja di Melaka
sebelum mengeluarkan surat pengiktirafan tersebut.
“Untuk pengetahuan semua ICJ adalah badan kehakiman telus dalam
membuat keputusan dan surat pengiktirafan ini dikeluarkan berdasarkan
kajian menyeluruh selama sembilan tahun sehingga keputusan dikeluarkan
pada 25 November lalu.
“Jika ada pihak yang mengatakan Beta mendapat surat tersebut dengan
membayar kepada ICJ, sila buktikan kerana beta bukan ahli politik yang
mengeluarkan dan menabur wang untuk memancing undi tetapi beta hanya
menuntut hak warisan beta,” katanya.
Beliau memberikan sidang akhbar dengan memakai baju kuning
lengkap sebagai seorang raja memberitahu, surat mengenai pengiktirafan
tersebut telah dihantar kepada Yang Dipertuan Agong, Majlis Raja-Raja
dan Perdana Menteri pada 2 Januari lalu.
Ekoran pengiktirafan itu, beliau mendakwa bakal menerima dana
berjumlah bertrilion ringgit dari satu tabung yang diuruskan oleh ICJ
dan duit tersebut akan digunakan untuk membangunkan Melaka.
Ketika ditanya mengenai siapa yang menandatangani surat pengiktirafan
tersebut, Raja Nor Jan berkata, beliau tidak mahu tahu siapa yang
berbuat demikian, sebaliknya meminta pihak media menghubungi ICJ sendiri
bagi mendapatkan kepastian.
“Sesiapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan ICJ itu boleh
kemukakan bantahan kepada pihak di sana. Apa yang penting, sekarang beta
ingin menjelaskan bahawa semua pihak perlu menerima pengiktirafan ICJ
ini dan beta ingin menuntut hak sebagai Sultan Melaka yang sah,”
ujarnya.
Tambah beliau, sekiranya kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf surat itu dan ingin mengambil tindakan perkara itu dialu-alukan.
“Tetapi kerajaan juga perlu menjelaskan kenapa tuntutan itu tidak
betul kerana surat ICJ itu berdasarkan akta dan fakta,” jelasnya.
Pihaknya tidak akan mengambil tindakan undang-undang di dalam negara
ini kerana berpegang teguh dengan keputusan ICJ yang merupakan mahkamah
dunia.
“Beta hanya mahukan hak beta untuk pulang ke Melaka dan mewarisi
takta, bukan ingin menuntut keistimewaan lain dan beta tidak memerlukan
bantuan mana-mana pihak kerana beta adalah Sultan Melaka Darul Islam,”
katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron meragui kesahihan tandatangan surat yang kononnya dari ICJ tersebut.
Menurutnya, perlembagaan negara sudah menyatakan Melaka adalah salah sebuah negeri bukan bersekutu iaitu negeri selat.
“Ini menjadikan Melaka ditadbir wakil persekutuan yang dikenali sebagai Yang Dipertua Negeri,”ujarnya.
Tambahnya, isu tuntutan takhta Sultan Melaka berada di bawah tata
cara Perlembagaan dan undang-undang negara ini, bukan melibatkan soal
perebutan antarabangsa.
Kes mengaku raja dan sultan ini makin kerap kedengaran akhir-akhir
ini, ada yang mengaku Sultan Langkasuka, Sultan Sulu dan tidak kurang
juga Sultan Perak.
Sehingga kini pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan
terhadap kes-kes melibatkan individu mengaku raja atau sultan ini.- Agenda Daily
0 comments:
Post a Comment