Saturday, 8 February 2014

Bapa kahwin janda, ibu nikah lelaki muda



Setiap anak mahukan yang terbaik untuk masa depan mereka termasuk ibu bapa yang hidup dalam harmoni dan berkasih sayang serta kehidupan yang tenang bersama keluarga.

Pun begitu tidak semua impian akan menjadi kenyataan. Berlaku sahaja perceraian, anak-anak akan menjadi mangsa. Walau tidak teruk pasti terasa tempiasnya.

Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Dura (bukan nama sebenar) yang terpaksa menerima hakikat ibunya bernikah dengan lelaki muda setelah bercerai dengan ayah kandungnya setahun lalu.

Ingin tahu apa terjadi seterusnya? Kita ikuti cerita Dura selanjutnya seperti mana diberitahu kepada saya.

"Saya berusia 25 tahun, baru tamat belajar dan bekerja di sebuah syarikat swasta. Saya mempunyai ibu bapa yang telah bercerai setahun lalu kerana tidak ada persefahaman lagi setelah 26 tahun hidup bersama.

"Syukur saya tidak ada adik, kakak atau abang. Mudah cerita, saya anak tunggal. Alasan ibu, dia sibuk dengan kerjayanya, jadi tidak ada masa untuk menambah zuriat.

"Saya dibesarkan dengan penuh kasih sayang, kemewahan dan apa sahaja yang saya mahu..., semua dapat. Sayangnya saya kekurangan kegembiraan dan perhatian ibu dan ayah yang masing-masing sibuk mengejar duniawi.

"Namun begitu saya bersyukur kerana tidak lalai dengan keadaan. Saya gembira kerana mempunyai kawan-kawan dan keluarga yang membantu saya. Menjaga solat saya dan mengambil berat akan diri saya. Alhamdulillah.

"Enam bulan setelah berpisah, ayah kahwin lain, diikuti ibu kemudiannya. Ayah bernikah dengan seorang janda beranak dua.

"Ibu pula mengambil keputusan bernikah dengan seorang anak teruna berusia awal 30-an, berbeza usia 12 tahun dengannya.

"Bayangkan bagaimana dengan saya? Bapa cara dia, ibu juga begitu. Saya terumbang-ambing meneruskan hidup. Walaupun bapa mempelawa saya tinggal bersamanya, saya menolak, begitu juga ibu.

"Saya ambil jalan selamat dengan menyewa bersama kawan-kawan untuk menjaga kedua-dua pihak walaupun saya lebih berat untuk tinggal bersama ibu, tetapi saya tidak mahu mengganggu pengantin baru.

"Ibu terasa hati tetapi saya beritahu dia saya akan balik seminggu sekali. Begitu juga bapa. Sayangnya saya tidak dapat berbuat demikian kerana saya agak pembaca sendiri boleh faham.

"Di rumah bapa, saya terpaksa berdepan dengan adik dan ibu tiri, di rumah ibu, saya ada bapa tiri yang masih muda. Susah untuk saya menyesuaikan diri. Mana lagi saya harus menjaga aurat saya.

"Saya bukan tidak suka keluarga baru bapa dan ibu tetapi sebagai anak, saya tentunya merasa sedih dengan keadaan berbeza yang saya lalui. Saya cuba balik ke rumah ibu tetapi saya tidak selesa. Bila ibu dan ayah tiri ada di ruang tamu, saya berkurung dalam bilik, begitulah sebaliknya.

"Saya memang tidak selesa sebab tidak kenal lagi hati budi ayah tiri saya yang masih muda itu, tambahan pula saya tidak tergamak melihat perangai ibu yang mengada-gada dengan suami barunya itu macam orang muda.

"Ibu tidak tahu menjaga dirinya dan tidak menutup aurat. Di rumah dia pakai sesuka hati, seluar pendek, kemeja T tanpa lengan...,maklumlah nak layan selera suami muda.

"Saya pula sejak sekolah, masuk asrama dan menuntut di universiti telah berhijab. Berbeza dengan ibu. Tapi saya tidak boleh menegur ibu kerana bimbang dia terasa hati. Saya berdoa siang malam agar ibu berubah.

"Bapa tidak banyak kerenah kerana dia faham keadaan saya. Tapi saya bimbangkan ibu, sampai bila ibu harus berperangai macam itu? Salah satu sebab bapa ceraikan ibu kerana sikapnya tidak pandai menjaga maruah bapa dan perangainya yang macam orang muda.

"Kini saat indah bersama ibu bapa kandung sudah berlalu dan tidak mungkin akan kembali. Di rumah bapa, saya agak selesa sebab ibu tiri boleh tahan juga baiknya. Dia tidak pernah menyakiti saya. Adik-adik tiri juga mesra dengan saya.

"Begitu juga apabila di rumah ibu, saya akan teringatkan bapa. Bayangkan 25 tahun, saya hidup bersama mereka, tiba-tiba keseronokan itu hilang sekelip mata. Walaupun saya sedang belajar mengenal ayah tiri saya tetapi saya tidak mungkin dapat menerimanya sepenuh hati.

"Saya juga pelik kenapa ibu tidak ada perasaan malu dengan saya apabila bersama suaminya. Sekurang-kurangnya jaga batas sebagai ibu di hadapan saya, ini macam sengaja nak menunjuk-nunjuk kepada saya.

"Saya pernah bercerita hal ini kepada nenek sebelah ibu tetapi nenek juga tidak mahu campur tangan kerana dia tahu perangai anaknya macam mana. Begitu juga dengan saudara ibu yang lain.

"Dalam apa juga keadaan, saya harus menerima hakikat yang kehidupan saya tidak sama lagi seperti dahulu. Mujur saya sudah dewasa untuk memahami keadaan ini. Saya selalu berdoa agar ibu akan berubah sikap dan menjadi wanita yang sebenarnya.

"Ibu dan suami barunya banyak menghabiskan masa dengan melepak dan membeli-belah dan bercuti macam orang muda. Saya tahu ibu mampu tetapi dalam usia yang hampir mencecah 50-an, saya harap ibu akan sedar dan berubah.

"Saya tidak ada masalah dengan bapa kerana saya tahu, dia seorang lelaki yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Untung bapa dapat isteri baru yang juga penyayang, mengambil berat dan sayang kepadanya. Itulah yang saya harapkan daripada ibu dahulu.

"Sebagai anak, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk ibu dan bapa. Saya juga berharap saya akan segera dipertemukan jodoh agar saya dapat membina kehidupan saya sendiri. Pasti saya tidak akan merasa sunyi dan tersisih seperti sekarang, mudah-mudahan Allah makbulkan permintaan saya ini." kata Dura menamatkan ceritanya.

Begitulah lumrah dunia. Ada yang bahagia dan ada yang menderita. Saya gembira kerana Dura sudi berkongsi cerita ini dengan pembaca ruangan ini.

Saya percaya ramai pembaca di luar sana yang menghadapi masalah seperti Dura, dan saya berharap mereka bertindak bijak untuk menangani situasi ini seperti mana yang dibuat Dura.

Syabas! Dura mempunyai fikiran yang positif terhadap ibu dan bapanya. Doa saya agar Dura akan terus sabar dan memberi perhatian dan kasih sayang kepada kedua-duanya tanpa berbelah bahagi.

Menamatkan catatan, pesanan saya: "Biarpun kehidupan itu perit, kita perlu terus hidup untuk menikmati kegembiraan di penghujungnya."

Salam

Sumber: Utusan

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More