China – Seorang wanita yang menghabiskan masa selama dua tahun terbaring di atas katil hospital akibat koma, akhirnya menghembuskan nafas terakhir selepas mesin sokongan hayat dipadamkan.
He Jingjing meninggal dunia sejurus sahaja dia dikahwinkan dengan tunangnya, Lu Lai.
Detik-detik terakhir He Jingjing itu dilakukan dalam suasana yang penuh pilu di hadapan Lu Lai dan keluarganya.
He Jingjing dan Lu Lai, berasal dari Guangdong dan mula menjalin hubungan pada 2011.
Kedua-duanya bekerja dengan sebuah jabatan kerajaan di Guangzhou, dan baru membeli rumah namun kegembiraan itu berakhir selepas He Jingjing jatuh sakit ketika sedang bekerja.
Dia kemudiannya koma ketika dalam perjalanan ke hospital dan sejak itu tidak pernah sedar lagi.
Pada hari dia meninggal dunia, keluarganya berkumpul di sisi He Jingjing sambil menyambut hari jadi ke-28 wanita itu, bersama kek dan satu majlis kecil iaitu majlis perkahwinannya.
Kini selepas dia meninggal dunia, organnya akan didermakan kepada mereka yang memerlukannya.
Dalam pada itu, Lu Lai berkata, isterinya itu akan sentiasa berada dalam hatinya.
“Saya gembira kerana isteri saya akan menolong orang lain menerusi pendermaan organ badannya. Dia akan sentiasa berada dalam hati saya dan akan selalu merinduinya walau apa jua berlaku,’’ katanya.
Menceritakan kisah isterinya dengan lanjut, Lu Lai berkata, pada hari kejadian, isterinya sedang sakit namun dia enggan berhenti bekerja.
“Saya menerima panggilan dia telah rebah di depan komputernya dan telah dibawa ke hospital. Ketika dalam perjalanan ke hospital, pernafasannya telah berhenti dan terpaksa diberikan rawatan lanjut.
“Doktor memaklumkan isteri saya mengalami kerosakan otak dan tiada apa yang boleh kami lakukan,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment