
PAPUA - Masyarakat pedalaman Papua mempunyai tradisi pelik untuk
menyampaikan ucapan syukur kepada Maha Pencipta. Tradisi mereka ini
dipanggil pesta bakar batu iaitu satu upacara membakar timbunan batu di
atas daun pisang dengan kaum lelaki mengenakan pakaian tradisi mereka
iaitu koteka, dan noken dan tas moge untuk kaum wanita.
Pesta ini berasal dari suku pergunungan kawasan Papua. Apa
yang pelik dan uniknya dengan tradisi ini ialah ketika proses memasak
makanan, ia haruslah dimasak dengan batu panas terlebih dahulu.
Terdapat tiga peringkat memasak dengan batu ini iaitu persiapan,
membakar babi dan makan bersama.
Peringkat
persiapan dilakukan dengan setiap suku perlu menyerahkan babi sebagai
persembahan. Bagi peserta pesta yang lain, mereka harus berkumpul
mengelilingi tempat upacara sambil menari-nari.
Dalam
proses membunuh babi tersebut setiap kepala suku akan memanah babi
secara bergilir. Jika panahan pertama bagi mana-mana kepala suku
tersebut membunuh babi berkenaan, ia menandakan upacara tersebut berjaya
dilakukan tetapi jika tidak, mereka menganggap terdapat perkara yang
belum diselesaikan dalam upacara itu.
Bagi kaum
ibu pula, mereka akan menyiapkan tempat pembakaran babi. Untuk
menyediakan tempat pembakaran, satu lubang setinggi 40 cm perlu ditebuk.
Kemudiannya, bahagian dasar lubang itu perlu dilapisi dengan
rumput-rumpai dan daun pisang. Sementara tempat pembakaran ini
disediakan, timbunan batu yang dikumpulkan di bahagian lain akan dibakar
dengan kayu sehingga panas.
Timbunan batu yang sudah dipanaskan akan disusun di atas daun
pisang menggunakan penyepit kayu yang dipanggil apando. Di atas
batu-batu itu, daging babi yang sudah dipotong menjadi irisan akan
dimasak diatasnya bersama dengan sayur dan ubi kentang. Seterusnya,
bahan-bahan masakan tersebut akan diapit dengan batu panas lain di
atasnya sebelum di bungkus dengan daun pisang. Tanah akan ditabur di
atas bungkusan itu dengan tujuan untuk mengelakkan pengewapan berlaku.
Masa yang diperlukan untuk proses ini ialah kira-kira satu jam setengah.
Sehabis masa itu, bungkusan itu akan dibongkar di mana daging
babi, ubi kentang dan sayuran akan diasingkan sebelum dihidangkan.
Terdapat tujuh suku dalam masyarakat pedalaman Papua ini
iaitu suku Kamoro, Amungme, Dani, Ekari atau Mee, Damal, Nduga dan Moni.
Setiap suku akan duduk secara berkelompok mulai dari kanak-kanak yang
terkecil sehingga kepada orang tua. Peringkat ini dipanggil makan
bersama dan merupakan kemuncak kepada pesta bakar batu. Semua makanan
harus dimakan habis dan tidak boleh ada sisa yang ditinggalkan.
Selain tujuan utama pesta ini untuk mengucap syukur kepada
Maha Pencipta, ia juga merupakan satu ungkapan rasa saling memaafkan di
antara mereka.
0 comments:
Post a Comment