Saturday, 25 January 2014

Kakitangan Kerajaan Banyak Ponteng Di Kota Belud


KOTA BELUD : Banyak pejabat kerajaan di Kota Belud dilaporkan sedang menghadapi masalah kakitangan ponteng dan curi tulang yang sangat serius sehingga kebelakangan ini ada pejabat dikatakan selalu langsung tiada staf walaupun ketika jam bekerja.
FMT yang menerima laporan orang-ramai telah meninjau beberapa pejabat kerajaan termasuk Sekretariat Daerah yang menempatkan beberapa pejabat kerajaan negeri termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Tanah dan Ukur, dan mahkamah dan mendapati masalah itu wujud sejak sekian lama tapi makin memburuk sejak akhir-akhir ini.
Tinjauan FMT beberapa kali ke pejabat-pejabat di daerah ini, yang terletak 75 kilometer dari Kota Kinabalu, mendapati antara alasan yang popular staf beri untuk meninggalkan pejabat ketika masa bekerja ialah mengambil anak di sekolah, ke bank, jumpa ‘client’, pergi minum dan ke hospital.
Ada juga jabatan yang mempunyai kakitangan yang sesuka hati berada di luar bangunan pejabat setiap hari dan hanya akan kembali ke pejabat jika rakan mereka menelofon ada pelanggan ingin berurusan khusus dengan mereka.
Malahan seorang kakitangan sebuah jabatan yang enggan namanya disiarkan mendakwa ada rakan sekerjanya sealu pergi minum berjam-jam lamanya di pekan dan ada pula yang pernah kedapatan bercerita dengan kawan-kawannya di kedai “billiard” yang sentiasa penuh di pekan.
“Dari dulu lagi ini perkara biasa di Kota Belud. Susah mahu cakap. Kalau menteri datang barulah semua pejabat penuh, tapi mana ada menteri datang sini,” katanya.sambil menambah ada juga kakitangan kerajaan yang bertabiat hanya bekerja setengah hari tiap hari Jumaat.
Seorang kakitangan lain berpendapat masalah ponteng dan curi tulang di Kota Belud sudah amat parah dan hanya satu program drastik boleh memperbaiki keadaan tersebut. “Suruhlah siaoa orang pergi mengintip semua pejabat di Kota Belud pasti mendapati masalah ini parah tapi dibiarkan.
Seorang pelanggan pejabat pos pula memberitahu FMT bahawa pejabat pos Kota Belud pula perlu menaik taraf perkhidmatan kaunternya yang sekarang gagal memberi khidmat yang memuaskan.
“Ada empat kaunter di pejabat pos tapi tiap hari hanya ada dua yang dibuka, kadang-kadang hanya satu, jadi barisan sangat panjang dan tiap hari ramai pelanggan menunggu berjam-jam lamanya untuk mendapat giliran.
“Servisnya amat lambat sehingga ada pelanggan yang datang pagi untuk mengambil nombor giliran hanya untuk datang kemudian atau pada sebelah petang,” katanya sambil menambah biasanya bila ditutup pada jam 4.30 petang, masih ramai yang belum sampai gilirannya.
Usaha mendapatkan ulasan pihak pejabat daerah diteruskan.
Share:

0 comments:

Post a Comment

Facebook