Wednesday, 8 January 2014

Pekerja DBKL Dibelasah Pelajar Nigeria Dalam Cubaan Samun


KUALA LUMPUR – Seorang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dipercayai cuba menyamun dua pelajar Nigeria di Taman Pusat Kepong, Sentul semalam maut akibat dibelasah.
Sazali Mokhtar, 52, meninggal kira-kira 5 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Selayang.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam ketika mangsa dan dua rakannya  memecah masuk rumah yang didiami pelajar itu sebelum mengambil wang tunai berjumlah RM5,000.
“Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 42 dan 52 tahun memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis dan mendakwa kedua-dua pelajar itu telah melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen, sebelum memecah masuk rumah tersebut.
“Dua pelajar berkenaan yang sempat menghubungi tujuh rakan mereka kemudiannya menangkap ketiga-tiga suspek,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Khairi berkata sebelum itu berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa yang menyebabkan salah seorang suspek cedera manakala salah seorang mangsa juga cedera akibat senjata kuku kambing yang digunakan suspek.
“Pada mulanya polis menganggap orang awam telah melakukan tangkapan bagi membantu pihak polis. Tetapi apabila terdapat kematian, kita anggap telah berlaku perlakuan jenayah yang berlebih-lebihan semasa tangkapan dilakukan.
“Kerana itu kita turut siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata polis merampas sebatang besi kuku kambing yang telah digunakan suspek untuk memecah masuk rumah mangsa, gari, pemotong besi dan vest polis.
Dua suspek yang bekerja sebagai penarik kereta dan bekas anggota DBKL kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.
Dalam kes lain, seorang warga Myanmar maut manakala seorang lagi rakannya berjaya menyelamatkan diri selepas sebuah rumah kongsi jenis kontena yang didiami mereka hangus dalam kebakaran di Lorong Tiong Nam, Jalan Raja Laut awal pagi tadi.
Khairi berkata hasil siasatan mendapati kejadian itu mempunyai unsur khianat berdasarkan beberapa bahan bukti yang ditemui berhampiran lokasi kejadian.
“Kita siasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana percaya ada perbuatan khianat dan ada bahan bukti bahawa kebakaran ini disengajakan dengan niat untuk membunuh dan tangkapan akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.
Kedua-dua mangsa yang berusia 28 tahun bekerja sebagai penjaga parkir.
Punca kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan perebutan kawasan penjagaan parkir, katanya. – BERNAMA
(gambar hiasan)
Share:

0 comments:

Post a Comment

Facebook