Friday 7 February 2014

Bayi Baru Lahir Dihempas, Ditekup, Dipukul Dan Dibuang Tepi Jejambat!


PETALING JAYA – Menyayat hati apabila mayat bayi perempuan baru dilahirkan berbungkus dengan kain selendang ditemui di tepi jejambat menuju ke Damansara Damai di Lebuhraya Sungai Buloh–Kepong, semalam.

Mayat bayi perempuan cukup sifat itu ditemui oleh seorang pejalan kaki kira-kira jam 7 pagi.
Difahamkan lelaki itu curiga selepas terlihat bungkusan kain tiba-tiba berada di tepi jejambat. Dia membuka bungkusan itu dan menemui mayat bayi yang lengkap berpakaian serta memakai lampin pakai buang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya percaya mayat bayi itu ditinggalkan di situ beberapa jam sebelum ditemui.


Menurutnya, kesan kecederaan didapati di mata kiri. Tali pusatnya telah dipotong dan disapu ubat luka.

“Bayi itu mungkin dipukul atau dihempas, berdasarkan kecederaan mata atau ditekup sehingga tidak dapat bernafas berdasarkan buih yang keluar dari hidung.
“Kita masih menyiasat kes ini dan menunggu laporan bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi balai polis terdekat. - SinarHarian
Share:

0 comments:

Post a Comment

Facebook